SEMBAH TAKZIAH DI ATAS KEMANGKATAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH
Tarikh: 22/05/19
Dengan perasaan sedih yang amat mendalam, patik kalian ingin merafak sembah ucapan takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pagi ini.
Khabar dukacita yang disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media hari ini amat meruntun perasaan seluruh rakyat Malaysia kerana Almarhum Sultan Ahmad Shah, 89, juga pernah menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Patik kalian mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh kerabat Diraja Pahang diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangan ayahanda baginda yang banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran terutamanya selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974.
Sesunggunhya sumbangan bakti Almarhum Sultan Ahmad Shah tidak ternilai terutamanya keprihatinan Almarhum terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata yang ditimpa musibah dan bencana alam.
Rakyat Malaysia, terutamanya penduduk di negeri Pahang, sudah pasti akan mengingati keprihatinan dan sumbangan ikhlas Almarhum Sultan Ahmad Shah yang sanggup mencemar duli melawat ke setiap pelusuk bandar dan desa terpencil setiap kali berlakunya bencana seperti kebakaran, banjir dan tanah runtuh.
Almarhum merupakan seorang Raja berjiwa rakyat yang sebenar kerana sentiasa berada bersama rakyat terutamanya mereka yang ditimpa bencana dan musibah.
Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Seluruh Ahli Jawatankuasa & Ahli PKRM
Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia